DSC_2537

Hospital Kuala Krai siap 2017- (Utusan Malaysia)

KUALA KRAI 17 Mac – Pembinaan hospital baharu Kuala Krai bernilai RM286 juta di Pahi di sini dijangka siap sepenuhnya menje­lang Mei 2017.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerja-kerja pembinaan hospital berkonsepkan dalam taman itu telah mula dilaksanakan sejak tahun lalu.
“Pembinaan hospital ini adalah sumbangan besar kerajaan kepada rakyat Kelantan. Hospital ini akan menjadi pemangkin perkembangan ekonomi di daerah ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata kepada pemberita selepas melakukan lawatan untuk melihat kerja-kerja pembinaan hospital berkenaan di sini kelmarin.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustafa dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa me­ngadakan lawatan ke Kuala Krai sebelum Pi­lihan Raya Umum Ke-13 telah me­ngumumkan kelulusan pembinaan hospital ber­kenaan.
Sementara itu, Mustapa berkata, hospital yang dibina di atas kawasan seluas 64 hektar itu bakal memberi keselesaan kepada pesakit-pesakit khususnya dari daerah ini, Gua Musang dan Jeli.
“Sekarang ini, Hospital Raja Pe­rempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sesak sepanjang masa dengan pesakit-pesakit dari seluruh negeri termasuk Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli mendapatkan rawatan di hospital terbabit.
“Selepas ini, penduduk di selatan negeri ini tidak perlu lagi berulang alik ke Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/hospital-kuala-krai-siap-2017-1.70599#sthash.ecMBVLgN.dpuf